PERJUANGAN MELAYU DI ATAS DASAR AGAMA DAN BANGSA
إِلَهِى أَنْتَ مَقْصُوْدِيْ وَرِضَـاكَ مَطْلُـوْبِيْ أَعْطِنِـيْ مَحَبَّتَكَ، وَمَعْرِفَتَكَ
Saya mulai warkah ini dengan kekata permulaan yang diilhamkan oleh Mursyiduna Al Faqir Al Haqir Ar Raji ila ‘afwi Rabbi Tuan Guru Syeikh Anuar Al Qadri Al Khalidi,
“Dengan nama Allah yang maha mencipta dan membuka bagi lembaran ciptaanNya diberi nama makhluk dari kerana pilihanNya segala yang Dia cipta, dinaungi dan diletakkan di bawah nama-nama dari sifat-sifat Nya ar-Rahman (maha pemurah) ar-Rahim (maha mengasihi dan maha menyayangi) seawal dari segala ciptaan itu, Dia telah memperkenan karunia Nya.
وَمِنۡ ءَايَـٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفُ أَلۡسِنَتِڪُمۡ وَأَلۡوَٲنِكُمۡۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّلۡعَـٰلِمِينَ (٢٢)
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. (ar Rum: 22)
Fitrah manusia itu yang memupuk kecenderungan mencintai, membela dan memperjuangkan agama dan bangsa. Di dalam warkah ini, saya memperkhususkan perbincangan ini pada masyarakat Melayu. Walaupun ada kata-kata sumbang dari beberapa golongan yang menafsirkan perjuangan bangsa sebagai ‘asobiyah, saya merujuk pada hadith junjungan kita Nabi Muhammad ﷺ yang diriwayakat oleh An-Nasai’:
Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah ﷺ : “Adakah perbuatan ‘asobiyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya? Tidak, tetapi ‘asobiyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman.”
Dengan ini, nukilan saya ini dimulakan dengan nasihat yang diutarakan oleh Tuan Guru Syeikh Anuar Al Qadri Al Khalidi, iaitu
“Kita orang Islam dan orang Melayu tidak seharusnya melihat perjuangan itu melalui wadah politik semata-mata, tetapi kita harus melihat perjuangan di atas dasar agama, bangsa dan tanah air. Perjuangan yang diikatkan atas dasar agama, bangsa dan tanah air ini akan membuatkan ia lebih kukuh atau teguh.”
Persoalan pertama yang akan saya sentuh adalah, apakah makna Melayu itu dari konteks para cendekiawan agama dan sekular. Di dalam process memahami bangsa Melayu, saya terpahat dengan definasi dari Al ‘Alim Al ‘Allamah Az Zaki Asy Syeikh Wan Ahmad Bin Muhammad Zain Al Fathani, di dalam kitab induknya ‘Hadiqatul Azhar War Rayahin – Asas Teori Takmilah Satera Melayu-Islam Jilid 1 (1882)’ iaitu:
“Bangsa Melayu itu adalah bersifat ikhlas, lemah lembut, lunak, berperibadi sopan… memiliki kehormatan yang sopan, menguasai perbaikan pertukangan, menerima pemodenan teknologi, mereka memperoleh pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kecemerlangan kefahaman padanya.”
Sehubungan dengan itu, Frank Athelstane Swettenham di dalam Malay Sketches (1895) menggambarkan bangsa Melayu itu sebagai orang luar kolonial yang “sopan dan mudah” dengan sifat “berani dan boleh dipercayai”. Swettenham seterusnya menghuraikan bahawa orang Melayu adalah “konservatif dari satu sudut, bangga dan suka dengan negara dan bangsa, menghormati adat istiadat dan tradisi, taat kepada Raja-nya, dan mempunyai penghormatan yang sewajarnya bagi pihak yang berkuasa.”
Walaupun ada beberapa definasi yang lain, saya berpendapat, definasi di atas sudah cukup untuk kita muhasabah dan menilik diri kita sendiri. Di manakah letaknya kefahaman kita tentang bangsa kita yang dipuji oleh para Alim Ulama, penguasa dan juga pemikir barat serta orientalis? Adakah dalam jati diri kita ini terputik rasa bangga dengan bangsa yang sudah beribu-ribu tahun bertamadun tinggi? Pernahkah kita bertanya, mengapakah kuasa-kuasa Barat dan kolonial ingin menguasai Tanah Jawi atau Nusantara semenjak abad ke-13 lagi. Apa yang kita, bangsa Melayu, ada yang mereka tiada hinggakan mereka sanggup meninggalkan negara mereka dan merantau sangat jauh dan lama?
Untuk mengupas persoalan di atas dan di dalam konteks terhad perbicaraan warkah ini, saya ingin membawa pembaca pada bukti sejarah yang telah dikumpul sepanjang perjalanan sarjana kedoktoran saya hingga sekarang di bawah bimbingan Murysiduna Tuan Guru Syeikh Anuar Al Qadri Al Khalidi. Kepintaran dan keupayaan menghafal fakta Tuan Guru sangat menakjubkan. Beliaulah yang memberi sumber-sumber sejarah yang mempermudahkan kerja-kerja penyelidikan saya. Salah satu bukti sejarah yang Tuan Guru sampaikan adalah ketertiban dan ketinggian tamadun bangsa Melayu telah wujud sebelum datangnya Islam secara formal di Tanah Jawi. Catitan fakta ini telah saya nukilkan di dalam tesis kedoktoran yang telah diiktiraf oleh salah satu universiti terkemuka di Australia. Di dalam tesis itu saya mengetengahkan fakta sejarah seperti berikut;
“Sebelum ketibaan Islam di Tanah Jawi (Nusantara Melayu) pada awal abad ke-12, beberapa orang Melayu mengamalkan agama monoteistik (Samad, 1979; Shellabear, 1896; Windstedt, 1938). Tun Sri Lanang (1615) menyatakan bahawa orang Melayu adalah keturunan Raja Iskandar Zulkarnain, yang mematuhi agama monoteistik pada zaman Nabi Ibrahim. Karya-karya sejarah penting dari Ali Ibn Al Athir, Al-Kamil fi’l Tarikh (Sejarah Lengkap) yang ditulis pada tahun 1231, menyatakan bahawa orang Melayu adalah keturunan Nabi Ibrahim Alaihissalam. Oleh itu, ketika monoteisme Islam datang ke Kepulauan Melayu pada abad kedua belas, rakyat dapat menerima dengan mudah (Johns, 1961; Milner, 2008).”
Sejurus dengan fakta di atas, ternyata tamadun bangsa Melayu telah terpahat sekian lama. Sememangnya, evolusi ketamadunan sesuatu bangsa itu akan berlaku. saya tidak menyangkal fakta-fakta animisme dan kedewaan yang berlaku di Tanah Jawi tetapi dengan kedatangan Islam, melalui sistem diraja, dengan mudah orang Melayu menerima Islam. Tokoh-tokoh Islam seperti Prof Syed Naquib Al Attas, Raja Fuziah Raja Tun Uda, Abdul Rahman Al-Ahmadi dan para akademik seperti Timothy Bernad, Anthony Milner dan Michael Laffan kesemuanya telah mengatakan yang Islam mudah diterima dan dianuti apabila ia sampai di rantau ini. Menurut Uda dan Al-Ahmadi (1997), “sebelum kedatangan Islam, orang Melayu telah mengembangkan budaya yang berbeza dari mereka sendiri.” Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, mereka memerhatikan bahawa pandangan dunia Melayu berubah dari mitologi-animistik terutamanya kepada lebih rasional dan falsafah dengan kedatangan Islam. Fakta ini mengukuhkan lagi diskripsi Syeikh Ahmad Al Fathani yang mengatakan bangsa Melayu itu mempunyai kedaulatan-kedaulatan yang besar melalui kecemerlangan kefahaman dan pemikiran yang tinggi.
Terlebih penting ialah kesinambungan tamadun bangsa Melayu itu sudah terpahat dengan adanya susur galur dan kemulian dari para anbiya’, rasul-rasul dan para alim ulama. Kenyataan fakta ini telah dicatit di dalam banyak buku-buku dan manuskrip-manuskrip yang sahih. Fakta sejarah telah menerangkan bahawa keturunan Nabi Ibrahim, menerusi isterinya, Siti Qaturah (Qanturah) yang berasal dari Samarqand adalah rumpun bangsa Melayu yang bermula di Champa. Melayu Champa telah diwartakan sebagai salah satu rumpun awal bangsa Melayu oleh sebilangan besar ahli sejarah hingga ke hari ini. Sudah semestinya, ajaran para Nabi Ibrahim adalah berlandaskan tauhid yang haq. Evolusi ketamadunan yang berlaku diantara zaman Siti Qaturah (yang bermakna keminyan di dalam bahasa Yahudi Kuno) dan datangnya Islam pada zaman sahabat, ada ia unsur-unsur kedewaan, animisme dan kanabilsme. Saya ingin meningatkan pembaca bahawasanya evolusi ketamadunan itu tidak dapat dielakkan tetapi ia tidak bermakna seluruh bangsa Melayu mengamalkan kefahaman beragama yang bertentangan dengan ilmu tauhid yang haq.
Ini membawa kepada fakta di mana Islam yang di wahyukan kepada Rasulullah ﷺ tiba di tanah Melayu melalui ahli Sufi. Syed Naquib Al Attas (1969) telah mengatakan, di dalam konteks bangsa Melayu, yang tassawuf memupuk semangat keagamaan yang berbentuk intelek dan rationalistik. Intelektualisme dan rationalisme ini telah menjadi pemangkin perubahan bangsa Melayu dari pemikiran dunia mitologi yang merugikan kepada dunia intelektual yang tinggi dan ketertiban. Menurut Prof Al Attas lagi, Islam telah mendorong terbentuknya intelektualism dan rasionalisme yang bermula dari Raja dan dikongsi sama dengan seluruh bangsa. Ilmu dan penghalusan spiritual inilah yang saya berpendapat ada pada Tuan Guru Syeikh Anuar Al Qadri Al Kkhalidi. Jika kita mengamati karya-karya Tuan Guru dari kitab-kitab karangannya seperti Siraajul Murid (Pelita Buat Murid), Miftahul Huda dan juga nukilan-nukilan beliau di media sosial, kita dapat melihat yang Tuan Guru memberi nasihat dan peringatan dari sudut agama, bangsa dan juga politik. Kepakaran Tuan Guru Syeikh Anuar Al Qadri Al Khalidi dalam ilmu tauhid, fiqh, tasawuf dan ilmu sains kemasyarakatan kini telah menjangkau lebih dari dua puluh tahun. Beliau telah menjadi rujukan dalam bidang aqidah, tasawuf dan sains kemasyarakatan. Oleh kerana ilmunya yang mendalam di dalam kesemua bidang itu, termasuk aqidah Ash’ariah dan teori komunikasi media, akan terpelihara selagi beliau hidup. Saya syorkan yang pembaca melayari media social (facebook) yang mengandungi banyak karya-karya beliau di Facebook Al Khalidi Sufi Order.
Di antara nasihat Tuan Guru yang memberi impak yang hebat adalah karya media sosial yang bertajuk “PERINGATAN UNTUK ORANG MELAYU” pada 13 June 2018 ;
“Orang Islam di Tanah Melayu (Malaysia) ini harus sedar tidak pernah ada didalam sejarah agama Islam dan umat Islam bahawa orang-orang kafir tolong menjaga dan memelihara agama Islam, jangan tertipu dengan slogan mereka, lakonan mereka, tipu muslihat mereka yang kononnya mereka menjaga hak-hak orang Melayu dan juga Islam.”
Nasihat di atas dikuatkan lagi dengan fakta dan perspektif sejarah dimana evolusi kekuatan kuasa politik, ekonomi dan kemasyarakatan di Tanah Jawi bertapak dengan adanya Islam sebagai kuasa penyatuaan bangsa Melayu. Di antara perintis kegemilangan ini adalah Syeikh Daud Bin Abdullah Al Fatani. Oleh kerana kehebatan Ulama Tanah Jawi ini sangat terserlah, sarjana barat seperti Francis Bradley telah membukukan perjalanan Syeikh Daud dalam membentuk institusi berfikir dan intelektuk bangsa Melayu dan implikasinya kepada kekuatan Tanah Jawi yang menjadi idaman kuasa-kuasa luar terutama kuasa kolonial. Keadaan yang sama telah juga berlaku pada Tuan Guru Syeikh Anuar Al Qadiri Al Khalidi, di mana karya-karya beliau diitiraf dari peringkat universiti hingga kepada ahli-ahli agama bukan Islam. Dengan harapan, kesinambungan warkah ini dapat menyingkirkan bebalisme di kalangan segolongan bangsa Melayu dan memupuk kembali intelektualisme, rationalisme dan budi pekerti contoh di mata dunia.
In Sha Allah dengan izin dan barokah Tuan Guru, saya akan menyusuli warkah ini dengan mengetengahkan beberapa aspek beragama dan bangsa yang dapat membentuk bidang kuasa institusi politik dan moral dari konteks penulisan Tuan Guru Syeikh Anuar Al Qadri Al Khalidi serta ulama-ulama seperti Syeikh Daud Al Fatani dan pemikir-pemikir Islam seperti Ibn Khaldun dan sebagainya. Saya menutup warkah ini dengan kata-kata hikmah Syeikh Anuar Al Qadri Al Khalidi;
PADA PEJUANG-PEJUANG MELAYU HIDUPKANLAH ROH PERJUANGAN AGAMA, BANGSA DAN TANAHAIR, KERANA JANGAN ORANG BERIMAN ITU DIPERBODOHKAN BERULANG KALI ATAU KALI YANG SETERUSNYA !!!
(Artikel ini ditulis oleh Dr Noor Hasbi Yusoff yang telah dididik oleh Syeikh Anuar Al Qadri Al Khalidi secara khusus. Beliau adalah ahli akademik di Monash University School of Filem, Media & Journalism di Melbourne Australia dan pernah juga menjadi pensyarah di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) University di School of Media & Communications. Kepakaran beliau adalah pada bidang reka bentuk pengalaman pengguna, komunikasi media dan pengajian budaya di Asia Tenggara, terutama sekali Malaysia dan Indonesia. Beliau juga adalah seorang penulis khat traditional dan kontemporari yang berkarya di Australia, Emiriah Arab Bersatu, Malaysia dan Singapura.)
Leave a comment